Terengganu Inc Cegah Korupsi Awal, Terap Nilai Anti Rasuah Dalam Pendidikan Rendah
Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu
Inc mengambil langkah pencegahan awal dalam membentuk generasi anti rasuah
menerusi Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) di Sekolah Kebangsaan (SK)
Pulau Redang.
Program rintis selama empat hari buat julung kalinya diadakan dengan kerjasama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Jabatan Pendidikan
Negeri Terengganu (JPNT) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM20,000.00 bagi
pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut, yang bertujuan
untuk meningkatkan kesedaran pelajar sekolah tentang kesan negatif rasuah dan
mempromosikan kepentingan integriti dan ketelusan dalam amalan harian.
Melalui lakaran mural antirasuah ia dapat memupuk semangat anti-rasuah
secara peringatan visual kepada seramai 200 orang pelajar dan secara tidak
langsung dan menjadikan mereka duta perubahan dalam masyarakat.
Lakaran
mural telah dibantu oleh sukarelawan mahasiswa UMT dan SK Pulau Redang, serta
kakitangan Terengganu Inc sejak 22 Mei dengan tema "Kami Benci
Rasuah," "Kami Tolak Rasuah," "Kami Wira Antirasuah"
dan "Malaysia Negara Bebas Rasuah."
Presiden
dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun
berkata, selain program mural, program ‘The Bookworms Programme’ juga
diadakan yang menumpukan sesi bercerita buku-buku Bahasa Inggeris bersama para
pelajar.
“Sumbangan
dalam bentuk bahan membaca bahasa Inggeris turut disalurkan kepada perpustakaan
sekolah. Aktiviti sebegini adalah inisiatif Terengganu Inc kepada masyarakat
dalam memupuk minat untuk memperkasa penghayatan nilai integriti dan penguasaan
bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Seri
Norazlan Mohd Razali, program diadakan adalah selaras dengan tuntutan inisiatif
2.4.6 dan 2.4.11 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu
memperkukuhkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang berteraskan
kepada pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh.
Turut hadir dalam pelancaran program tersebut, Pengarah SPRM Terengganu,
Hazrul Shazreen Abd Yazid, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie
Ngah, Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Terengganu, Sabri Mansor, Pegawai-pegawai
Kanan SPRM Ibu Pejabat dan Negeri Terengganu, Ketua-ketua Jabatan Terengganu
Inc, serta Guru Besar SK Pulau Redang, Rozila Ami.
Social Media