Business-Blog

Strawberry Park Dijenamakan Semula Sebagai Hotel Lima Bintang, Peruntukan RM150 Juta Bagi Pembangunan Semula

Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc, dengan kerjasama Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan pemaju dilantik, iKHASAS bakal membangunkan semula resort peranginan, Strawberry Park, Kijal dengan peruntukan kos sebanyak RM150 juta.  

 

Dibangunkan oleh iKHASAS Land Sdn Bhd dan pengoperasian hotel oleh Courtyard by Marriott, projek ini akan dijenamakan sebagai sebuah hotel bertaraf lima bintang berjenama antarabangsa dilengkapi dengan kemudahan moden, bilik yang selesa bagi memenuhi kehendak dan peningkatan pelancong di Terengganu. 

 

Presiden & Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pihaknya yang juga penasihat projek, telah berusaha menarik minat para pelabur bagi melabur dalam infrastruktur resort di atas tanah berkeluasan 21.3 ekar ini. 

 

Pelbagai kemudahan lengkap bertaraf lima bintang akan dibangunkan termasuk 10 blok dan 220 bilik jenis bilik premium dan pelbagai ‘suiteberlatarbelakangkan pemandangan laguna yang indah,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Selain itu, resort ini juga akan dilengkapi dengan dua ruang makanan dan minuman (F&B) berkonsepkan All Day Dining dan Lounge Banqueting serta bilik mesyuarat berkapasiti 200 orang. Di samping itu, kemudahan seperti spa, ruang rekreasi air, trek hutan serta Indoor Games juga akan ditawarkan. 

 

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, objektif resort baharu tersebut adalah menjadi pilihan bagi urusan perniagaan dan percutian mewah, menyasarkan pasaran antarabangsa serta tempatan sekali gus mempromosikan Terengganu sebagai destinasi eko-pelancongan di Malaysia. 

 

Tambahnya, pembangunan projek ini juga akan memenuhi permintaan penginapan pelancongan berkualiti tinggi dan menyumbang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk setempat, terutamanya di daerah Kijal. 

 

“Pembangunan semula Strawberry Park Kijal oleh Courtyard by Marriott menawarkan lebih 150 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya di Terengganu, dan turut memangkin perniagaan setempat dan menyokong pembekal-pembekal tempatan,” katanya. 

 

Kerajaan Negeri menjangkakan Projek Pembangunan Semula Strawberry Park Kijal ini dilaksanakan mengikut jadual dengan jangkaan tempoh pembinaan sehingga tiga tahun atau 2026. 

 

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung di Resort World Kijal yang disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Presiden & Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan Pengerusi iKHASAS Land Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Tan Jyh Yaong 


MoU membabitkan projek di atas tanah milik LTAWNT tersebut telah ditandatangani oleh Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nara Setia, disaksikan oleh Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof. Manakala itu, iKHASAS Land Sdn Bhd telah diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Ir. Tan Chee Kian, disaksikan oleh wakil hartanahnya, Ng Foo Sun. 

Untuk makluman, Ikhasas Land Sdn Bhd juga sedang giat membangunkan Marriott Resort Perhentian yang bertaraf antarabangsa 5 bintang di Pulau Perhentian Kecil serta hotel berjenama antarabangsa Fairfield Kuala Besut (kumpulan Marriott) di mana ia merupakan hotel transit di Besut dan lain-lain pembangunan di pantai timur. 

Back