Lebih 15,000 Kunjungi ‘Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022'
HULU TERENGGANU - Lebih 15,000 orang pengunjung telah mengunjungi ‘Terengganu Inc Challenge Series (TICS): Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022’ sepanjang tiga hari ia diadakan, menandakan permulaan dan sambutan baik terhadap acara berprestij itu setelah lebih sedekad tidak dianjurkan.
Jumlah yang melawati Pulau Poh yang juga tuan rumah acara tersebut melebihi sasaran 9000 orang yang ditetapkan Kumpulan Terengganu Inc dengan tumpuan paling ramai tetamu pada acara permulaan kejohanan jet ski dan perhimpunan kereta wira.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata sambutan tersebut amat positif dalam menarik rakyat tempatan mengenali sukan ‘jet ski’ dan Tasik Kenyir sebagai satu platform untuk memperkasa ‘sport tourism’.
“Limpahan ekonomi juga dapat dirasai dalam tempoh yang singkat kepada masyarakat setempat. Ramai pelancong tempatan dan luar negara juga tertarik hasil penganjuran sukan Jet Ski disamping pelbagai acara menarik berlainan.
“Hasil juga diperoleh apabila pengunjung dan para peserta menggunakan kemudahan seperti restoran dan hotel di lokasi tempat sukan itu,” katanya selepas acara penutup Tasik Kenyir Jet Ski Championship 2022, Pulau Poh, sebentar tadi.
Majlis penutup tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman.
Antara acara yang mendapat sambutan menggalakkan adalah 47 gerai jualan industri kecil dan sederhana (IKS) serta 17 ‘food truck’, kelab kenderaan ‘Wira Gathering’ dan konvoi motosikal menerusi ‘Geng Motor Ride’ yang menarik 2,000 penggemar hobi permotoran itu.
Turut mendapat sambutan, pertunjukan burung eksotik, pertunjukan papan terbang ‘Flyboard’, pameran askar wataniah, Dikir Barat Sirat Astagina dan jamuan rakyat.
Jelas Burhanuddin Hilmi, Kumpulan Terengganu Inc menerusi platform Terengganu Inc Challenge Series bakal menjadikan acara tersebut sebagai kejohanan tempatan tahunan pada tahun mendatang.
“Terengganu Inc merancang pelbagai program sukan akan datang seperti XCO & Fun Race Kenyir 2022 pada 21 Oktober 2022, International Golden Monsoon Ride 2022 pada akhir tahun ini dan Kenyir Ultimate Trail Challenge 2023 pada tahun hadapan,” katanya lagi.
Social Media