Business-Blog

Epic Berhad Meterai Surat Hasrat Bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd, Teroka Kerjasama Berpotensi Tinggi Dalam Industri Maritim Serta Minyak Dan Gas Brunei Darussalam

Bandar Seri Begawan, 01 November 2024 – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad ("EPIC Berhad"), syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman di bawah Terengganu Incorporated Sdn Bhd ("Terengganu Inc."), telah memeterai Surat Hasrat ("LoI") bersama Qaswa Holdings Sdn Bhd ("Qaswa"), sebuah syarikat di bawah Adinin Group of Companies, bagi membuka laluan kerjasama strategik dalam Kluster Maritim Brunei Darussalam, khususnya melibatkan fasiliti penyelenggaraan dan penyahtauliahan marin bersepadu di sana. Majlis pemeteraian LoI berlangsung di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dengan disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Darussalam merangkap Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei serta Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam.

LoI ini meletakkan landasan bagi potensi perolehan pegangan saham Qaswa oleh EPIC Berhad dan penglibatannya dalam pengoperasian limbungan penyelenggaraan marin ("MMY") dan limbungan penyahtauliahan ("DY") pertama di Brunei Darussalam. Ia turut menggariskan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama bidang berkaitan bagi menggalakkan pertukaran kepakaran dan peluang pertumbuhan.

Terletak di tapak seluas 27 ekar di Pulau Muara Besar, limbungan bersepadu tersebut dibangunkan oleh konsortium yang terdiri daripada Qaswa sebagai rakan tempatan utama, Dana Modal Pembangunan Strategik Kementerian Kewangan dan Ekonomi, serta dua syarikat asing sebagai rakan teknikal utama, iaitu Dongil Shipyard Co Ltd dari Korea Selatan untuk penyelenggaraan marin dan CessCon Decom Ltd dari United Kingdom bagi perkhidmatan penyahtauliahan. Fasiliti ini dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dan bakal menjadi pusat perkhidmatan marin lestari serantau, menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih ("MRO") marin dan juga pemulihan penyahtauliahan ("DR").

Ketika majlis, EPIC Berhad diwakili oleh Ts. Haji Muhtar Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Encik Wan Mohd Azilah Wan Abdullah, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan. Pihak Qaswa pula diwakili oleh Haji Musa Adnin, Pengerusi, Muhammad Luqman Hakeem Musa, Pengarah dan Hafriz Fayadh Musa, Pengurus Besar. Turut hadir di majlis tersebut termasuklah Yang Berhormat Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu), Dato’ Haji Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu), Tuan Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun (Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc.) serta Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim @ Mohamed and Yang Berhormat Ir. Ts. Haji Khairil Nizam Khirudin.

Muhtar menerusi ucapannya berkata, “Kerjasama berpotensi ini membuka lembaran baharu buat EPIC Berhad dalam memperluaskan jejak antarabangsa dan kepakaran syarikat. Kami teruja untuk meneroka usaha berimpak yang bukan sahaja sejajar dengan strategi pertumbuhan perniagaan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta keupayaan maritim di Malaysia dan Brunei Darussalam.”

Surat Hasrat ini mencerminkan komitmen EPIC Berhad terhadap pertumbuhan melalui kerjasama strategik bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain industri minyak dan gas pilihan, sambil memacu inovasi perkhidmatan penyahtauliahan dan marin. Inisiatif ini juga selari dengan pembangunan Fasiliti Kitar Semula Kapal Hijau ("GSRF") EPIC Berhad di Pelabuhan Kemaman, yang juga berfungsi sebagai Tapak Pelupusan Pesisir atau Fasiliti Pemulihan Penyahtauliahan ("DRF"). Terletak di atas tapak seluas 13 ekar di Pangkalan Bekalan Kemaman ("KSB"), fasiliti dwi-fungsi pertama di Malaysia ini dijadualkan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2026 selain bakal menjadi penanda aras bagi kemudahan kitar semula serta penyahtaulihan kapal secara Lestari.

Sementara itu, Hafriz Fayadh pula berkata, “Pemeteraian LoI ini adalah sebuah pencapaian penting bagi Qaswa dalam merealisasikan potensi kerjasama dan pelaburan bersama EPIC Berhad. Dengan memanfaatkan kepakaran serta rekod pencapaiannya yang kukuh, jalinan hubungan strategik tersebut dijangka memberikan manfaat besar kepada Qaswa serta menyumbang kepada pemerkasaan ekonomi Brunei Darussalam. Kerjasama ini juga merupakan langkah signifikan dalam menambah baik keupayaan sektor minyak dan gas serta ekonomi tempatan, seiring dengan visi pembangunan ekonomi mapan negara.”

Susulan pelaksanaan LoI ini, EPIC Berhad dan Qaswa berhasrat memperkasakan kerjasama melalui pertukaran kepakaran dan peluang pelaburan strategik, menggalakkan kerjasama dan mempertingkatkan kualiti penawaran perkhidmatan demi manfaat pihak berkepentingan masing-masing.


Back