Chicken Cottage Buka Outlet Ke-67 Di Camden Town, London
Camden Town, London – Chicken Cottage, anak syarikat Terengganu Inc berpangkalan di London merupakan sebuah jenama makanan segera halal yang terkenal dengan hidangan ayam goreng dan panggang, telah membuka lembaran baru dengan pembukaan outlet terbaharunya yang ke-67 di Camden Town, London.
Pembukaan outlet baharu tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, dan juga disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, YBhg. Dato’ Zakri Jaafar dalam satu acara pembukaan outlet di Camden. Pembukaan ini juga adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Chicken Cottage, yang kini terus mengukuhkan kehadirannya di United Kingdom (UK) walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar bagi sektor makanan dan hospitaliti.
Sejak penubuhannya, Chicken Cottage telah membina reputasi sebagai sebuah jenama makanan halal yang terkenal dengan hidangan ayam yang lazat, termasuk ayam goreng dan panggang, hidangan sampingan yang memuaskan, serta pencuci mulut yang menyelerakan. Dengan lebih 60 outlet, Chicken Cottage kini memperkukuhkan kehadirannya bukan sahaja di London, malah di pelbagai kawasan lain di United Kingdom seperti Glasgow, Newcastle, Cambridge, Oxford, dan Canterbury.
YAB Menteri Besar berkata, “Pembukaan outlet baharu Chicken Cottage di Camden Town ini bukan sahaja mencerminkan daya saing jenama ini di persada antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan. Kami berbangga dengan pencapaian jenama ini dan berharap agar Chicken Cottage dapat terus berkembang maju.
Sebagai satu jenama yang telah memupuk asas yang kukuh sejak penubuhannya, Chicken Cottage sentiasa berusaha untuk menawarkan pengalaman makan yang menyelerakan dan unik kepada pelanggan di seluruh dunia. Rangkaian outletnya yang semakin berkembang menjadi bukti komitmen syarikat ini dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan setianya.” katanya lagi.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi menyatakan, “Melalui pelbagai pilihan menu yang disediakan untuk memenuhi cita rasa ramai, Chicken Cottage telah berjaya menarik minat pelanggan dari pelbagai latar belakang, baik di United Kingdom mahupun di peringkat antarabangsa. Ini turut membuktikan keakraban dan komitmen terhadap kejayaan jenama ini dan outlet Camden yang merupakan outlet ke-10 dibuka pada tahun 2024, melengkapi outlet di Carnoustie, Hemel Hempstead, Hounslow East, Northwood Hills, Houghton Regis, Chiswick, Holloway Road, Aylesbury dan Borough High Street.” tambah beliau.
Chicken Cottage yang pertama kali memperkenalkan ayam halal goreng dan panggang di outlet Wembley, telah mengalami perubahan besar sejak Greg Milne memimpin syarikat ini dua tahun yang lalu. Syarikat yang berpusat di Croydon ini telah memperkenalkan reka bentuk dalamannya yang baru dan memperkenalkan kios digital serta aplikasi mudah alih untuk kemudahan pelanggan.
Greg Milne menjelaskan, “Pembukaan outlet di Camden menunjukkan daya tahan dan momentum Chicken Cottage dalam mengharungi cabaran di UK. Ketika banyak syarikat lain mengurangkan operasi, Chicken Cottage terus berkembang dengan yakin, menunjukkan asas kukuh jenama ini serta komitmennya dalam menyediakan pengalaman berkualiti kepada pelanggan di seluruh UK.”
Selain Camden, Chicken Cottage akan membuka dua lagi outlet di Oban dan Brixton sebelum akhir tahun ini. Kedua-dua outlet ini akan dikendalikan oleh Mohammed Adebola Sheidu, seorang usahawan Nigeria juga sebagai Pengerusi Eksekutif Brains & Hammers, salah satu syarikat hartanah terbesar di Nigeria.
Turut hadir meraikan majlis pembukaan ini adalah Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Encik Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Chicken Cottage, Greg Milne.
Pembukaan outlet di Camden ini mengukuhkan visi Chicken Cottage untuk terus maju dan memenuhi permintaan pelanggan, juga mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama komuniti yang dipercayai di peringkat global. Antaranya, perancangan pembukaan 7 outlet di Kenya bagi pengembangan Chicken Cottage di Afrika dan juga pembukaan beberapa outlet di Oman. Outlet baharu di Camden Town dijangka dapat memberikan pengalaman makan yang lebih dekat dan mesra kepada penduduk di kawasan sekitar, sambil menarik pelancong yang melawat bandar raya London. Dengan penekanan terhadap kualiti dan kepelbagaian menu, Chicken Cottage terus berusaha untuk menjadi pilihan utama dalam industri makanan segera.
Social Media