Business-Blog

Terengganu Inc Salur RM300,000 Dalam Projek Pelaburan Pendidikan Bersama UniSZA

Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan Universiti Sultan Zainal Abidin telah memeterai sebuah memorandum persetujuan (MoA) bagi kerjasama strategik dalam ‘Terengganu Inc-UniSZA Islamic Investment Project’.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc., Burhanudin Hilmi Mohamed berkata, kolaborasi strategik akan dilaksanakan di bawah pengurusan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) dalam tempoh tiga ( 3 ) tahun mulai hari ini sehingga 2023.

“Pelaburan pendidikan sebanyak RM300,000 akan memfokuskan beberapa sub-sektor utama meliputi penyelidikan, pelantikan profesor pelawat, program tanggungjawab sosial dan penerbitan,” katanya.

Katanya, antara kawasan potensi yang bakal diterokai menerusi penyelidikan seperti kesan COVID19 sektor perniagaan dalam Kumpulan Terengganu Inc dan cara mengatasi cabaran untuk mengekalkannya sebagai Cabang Pelaburan Negeri yang mampan serta patuh syariah.

Tambahnya lagi, produk pelancongan dibawah urusan kumpulannya seperti Tasik Kenyir juga diterokai menerusi perangkaan inisiatif, program, aktiviti, produk/perkhidmatan tempatan yang boleh dibangunkan dan dipupuk sebagai ’Community Based Tourism’(CBT).

Dalam pada itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam menjelaskan, terdapat dua projek penyelidikan telah pun bermula, iaitu ’Shariah Governance Framework’ dan ’Shariah Based Intercompany Financing'.

“Usaha awal ini membuktikan komitmen yang amat tinggi di kedua belah pihak bagi memacu kecemerlangan yang disasarkan demi manfaat semua pihak pemegang taruh,”jelasnya.

Beliau turut berharap agar pelaksanaan itu dapat membantu kadar literasi pelaburan berteraskan Islam dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, Satiful Bahari Mamat menerusi ucapannya berkata, usaha kedua-dua pihak tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam meningkatkan penghayatan dan penguatkuasaan hukum agama Islam secara mendalam dalam pelbagai sektor, termasuk bisnes, ekonomi dan pendidikan.

“Terengganu juga akan memastikan semua aktiviti urusniaga dan kewangan melibatkan anak syarikat milik kerajaan negeri mesti patuh syariah. Jika anak syarikat ini perlukan pinjaman, mestilah pinjaman yang patuh syariah,” tambahnya.

Majlis yang diadakan di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu tersebut disempurnakan oleh Burhanudin dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Terdahulu, sebanyak RM40,000 daripada jumlah sumbangan juga disalurkan bagi pembiayaan pembangunan ‘Terengganu Inc Business Incubator’ sebagai platform mengasah kemahiran usahawan para pelajar-pelajar UniSZA.


Back