Business-Blog

Terengganu Inc Perkasa Amalan Patuh Syariah GLC di Terengganu

KUALA TERENGGANU - Syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) menggerakkan inisiatif strategik bagi memperkasakan pematuhan syariah buat semua urusan perniagaan dan pelaburan korporatnya, menjadikannya antara syarikat GLC yang melaksanakan patuh syariah di Terengganu.

Menurut Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun, “Terengganu Inc komited dalam memastikan semua aktiviti urusniaga dan hal-hal kewangan melibatkan anak syarikat milik kerajaan negeri sentiasa mematuhi garis panduan syariah.”

“Pelaksanaan perniagaan dan pelaburan yang di kawal selia parameter syariah dilihat sebagai salah satu bentuk sistem yang beretika dan bertanggungjawab sosial di samping dapat membantu kadar literasi pelaburan berteraskan Islam di kalangan rakyat Terengganu dan meningkatkan penghayatan dan penguatkuasaan hukum agama Islam secara mendalam,” katanya dalam Terengganu - Inc UniSZA ‘Professorial Talk: Investment and Shariah Compliance Dilemma’ hari ini.

Terengganu Inc telah mewujudkan Jawatankuasa Syariah pada September 2022 serta telah mengguna pakai rangka kerja tadbir urus syariah (Syariah Framework). Jawatankuasa ini berperanan memberi nasihat kepada Lembaga Pengarah dan pengurusan, termasuk anak-anak syarikat kumpulan serta memberikan input berkaitan syariah untuk memastikan operasi perniagaan dan pelaburan sentiasa mematuhi prinsip yang digariskan.

Turut hadir di ‘Professorial Talk’ adalah YBrs. Prof. Dr. Wan Norhayate binti Wan Daud, Penolong Naib Canselor UniSZA (Strategik dan Penarafan) Pengarah, Pusat Pengurusan Bakat dan Latihan UniSZA, dan YBrs. Prof. Madya Dr. Mazuri Abd Ghani, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UniSZA.

‘Professorial Talk’ yang diadakan di Dewan Perdana, UniSZA merupakan kolaborasi strategik yang disertai 200 peserta dari pelbagai latar belakang korporat dan akademik. Sesi tersebut disempurnakan oleh Burhanudin bersama Prof. Dr. Wan Norhayate dan disaksikan oleh ketua anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc.

Back