Business-Blog

Terengganu Inc Menetapkan Sasaran 35 Peratus TBB Menjelang Tahun 2025 Selaras dengan Agenda ESG

KUALA TERENGGANU - Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc telah melancarkan Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan sasaran 35% Campuran Kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) menjelang 2025, sejajar dengan Pelan Strategik 2023-2025.

Sasaran itu diumumkan semasa pelancaran program ESG Affairs 2023 bertemakan “Embracing Transition Towards a Sustainable Future”, yang disertai oleh lebih 200 tetamu daripada pegawai kerajaan negeri, anak syarikat kumpulan, pemain industri dan organisasi korporat.

Program bertemakan ESG dan kemampanan yang julung kalinya diadakan oleh Terengganu Inc menzahirkan aspirasi Kumpulan ke arah Teknologi Hijau dengan penyertaan dalam TBB, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dan pengurusan sisa kepada tenanga sekali gus mengukuhkan komitmen terhadap masa depan yang mampan.

Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi Terengganu Inc, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menerusi ucaptamanya memberikan perspektif mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Negeri Terengganu. Beliau turut menekankan kepentingan SDG yang sejajar dengan konsep Islam Maqasid Syariah.


“Kerajaan Negeri memberi fokus kepada lima SDG iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 7: Tenaga Berpatutan Dan Bersih, SDG 8: Pertumbuhan Ekonomi dan Peluang Pekerjaan, SDG 11: Bandar Dan Komuniti Lestari dan SDG 17: Perkongsian Global,” katanya.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pihaknya bersama kerajaan negeri akan mengadakan sinergi dengan pelbagai agensi seperti PETRONAS dan Tenaga Nasional Berhad serta membina rangkaian baharu dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Antara sorotan utama program tersebut juga ialah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Inc dan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bagi penerokaan pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung berkapasiti 1000 MW berdekatan Stesen Janakuasa TNB Sultan Mahmud.


Program tersebut turut merangkumi sesi ‘talk’ dan forum professional sebagai salah satu platform perkongsian tentang kepentingan ESG dan bagaimana ia boleh dilihat sebagai peluang dalam mencapai matlamat dan strategi organisasi syarikat yang lebih mampan.


Sesi ‘Talk’ bertajuk ‘ESG & Sustainability as a Business Concept’ telah disampaikan oleh Norhisham Abd Bahrin, Rakan Kongsi di Azmi & Associate yang membincangkan tentang kesan penerapan ESG terhadap organisasi sesebuah syarikat.


Selain itu, forum bertajuk ‘Advancing ESG Principles and Sustainability in Terengganu’ telah menampilkan ahli panel termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr Mohd Zaki Hamzah, Pengarah Perhubungan Pelabur, Kelestarian & Komunikasi, KPS Berhad, Zulkifli Mawardi, Pengarah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Pengarah Program & Pusat Kecemerlangan PKS United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei, Shanta Helena Dwarkasing.

Back