Business-Blog

Terengganu Inc Labur RM45,000 Untuk Program Pendidikan UAV Pertama Di Sekolah Dalam Malaysia

Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM45,000 buat program rintis pendidikan pesawat udara tanpa pemandu (UAV), ‘TI-BSaS Aeronautics Uav In-School Programme’ bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa.

Program pendidikan aeroangkasa selama empat tahun (2023-2026) yang julung kalinya diadakan di peringkat sekolah dalam Malaysia, menyasarkan pelajar Tingkatan 1 dalam menerap minat pelajar dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Terengganu Inc akan memberi sokongan kewangan dalam pelaburan pendidikan one off bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut, yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi bidang STEM disamping mengembangkan kemahiran unutk berjaya dalam ekonomi Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Program ini menyasarkan pelajar Tingkatan 1 di SMK Bukit Sawa berikutan wujudnya mata pelajaran baharu dalam silibus akademik mereka; Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK). Proses pemilihan sedang giat dijalankan dengan tujuh orang pelajar kini terpilih sebagai kumpulan pertama.

Antara komponen penting dalam program ini termasuk tunjuk ajar dalam bilik darjah, reka bentuk dan binaan, latihan penerbangan dan pertandingan. Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pihaknya akan memperoleh manfaat menerusi promosi jenama syarikat dan rangkaian perniagaan baharu.

“Tajaan ini juga memberi kita pengiktirafan sebagai penyokong program pendidikan Hi-Tech STEM yang selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG) no.4 (Pendidikan Berkualiti) dan no.9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), yang ditetapkan oleh United Nations Development Programme,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pihaknya yakin anak-anak pelajar di SMK Bukit Sawa akan menjadi generasi berdaya saing dan serta menjadi cetusan kepada hub industri aeroangkasa dalam negeri Terengganu.

Turut hadir dalam Kick-Off TI-BSaS Aeronautics UAV In-School Programme, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Timbalan Pengarah JPNT Sektor Pengurusan Sekolah, Azman Othman@Abdullah, Ketua-ketua Jabatan Terengganu Inc, serta Pengetua SMK Bukit Sawa, Mohd Suberi Abdullah.

Untuk pengetahuan, program ini melibatkan kerjasama beberapa rakan kolaborasi seperti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL ) Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), INOS Universiti Malaysia Terengganu (UMT), DEFTECH Unmanned Systems, National Aerospace Industry Coordinating Office (NAICO), dan Tinjau Mahir Sdn Bhd

Back