Business-Blog

Terengganu Inc Cegah Korupsi Awal, Terap Nilai Anti Rasuah Dalam Pendidikan Rendah

Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc mengambil langkah pencegahan awal dalam membentuk generasi anti rasuah menerusi Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang.

 

Program rintis selama empat hari buat julung kalinya diadakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM20,000.00 bagi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar sekolah tentang kesan negatif rasuah dan mempromosikan kepentingan integriti dan ketelusan dalam amalan harian.

 

Melalui lakaran mural antirasuah ia dapat memupuk semangat anti-rasuah secara peringatan visual kepada seramai 200 orang pelajar dan secara tidak langsung dan menjadikan mereka duta perubahan dalam masyarakat.

 

Lakaran mural telah dibantu oleh sukarelawan mahasiswa UMT dan SK Pulau Redang, serta kakitangan Terengganu Inc sejak 22 Mei dengan tema "Kami Benci Rasuah," "Kami Tolak Rasuah," "Kami Wira Antirasuah" dan "Malaysia Negara Bebas Rasuah."

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, selain program mural, program ‘The Bookworms Programme’ juga diadakan yang menumpukan sesi bercerita buku-buku Bahasa Inggeris bersama para pelajar.

“Sumbangan dalam bentuk bahan membaca bahasa Inggeris turut disalurkan kepada perpustakaan sekolah. Aktiviti sebegini adalah inisiatif Terengganu Inc kepada masyarakat dalam memupuk minat untuk memperkasa penghayatan nilai integriti dan penguasaan bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Seri Norazlan Mohd Razali, program diadakan adalah selaras dengan tuntutan inisiatif 2.4.6 dan 2.4.11 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu memperkukuhkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang berteraskan kepada pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh.

 

Turut hadir dalam pelancaran program tersebut, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah, Pengarah Jabatan Penyiaran (RTM) Terengganu, Sabri Mansor, Pegawai-pegawai Kanan SPRM Ibu Pejabat dan Negeri Terengganu, Ketua-ketua Jabatan Terengganu Inc, serta Guru Besar SK Pulau Redang, Rozila Ami.

Back