Business-Blog

Projek Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) Bernilai Rm680 Juta Ligatkan Sosioekonomi Negeri

KEMAMAN, 6 Mac 2022 – Kerajaan negeri Terengganu melalui anak syarikat miliknya (GLC) Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) serta anak syarikat kumpulan, TI Properties bersama MGB Berhad telah merasmikan projek Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) bernilai RM680 juta yang bakal mengubah landskap serta sosioekonomi penduduk setempat.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, TI Properties telah menandatangani sebuah perjanjian konsortium bersama Retro Court Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat LBS Bina Group Berhad bgi pembangunan taman perindustrian di tanah berkeluasan 1,007 ekar, pada awal September 2021.


Burhanuddin menjelaskan, lokasi strategik KTIP berada di dalam hab bioekonomi bersepadu melibatkan industri bio-polimer dan produk kimia yang berasaskan bio. Ini memberi akses kepada infrastruktur dan fasiliti sedia ada seperti loji pemprosesan gas dan loji penapisan minyak.

Jelasnya lagi, KTIP juga mempunyai kemudahan logistik penting di wilayah Pantai Timur melalui Pelabuhan Kemaman dan Kertih termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan bandar-bandar utama di Pantai Timur serta menambah baik kesalinghubungan ke Pantai Barat, melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor.


Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, taman perindustrian tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan serta catalyst kepada industry hiliran yang lain juga memperkasakan jaringan nilai (value chain) di sekitar daerah Kemaman dan negeri Terengganu secara keseluruhannya.

“Antara sebahagian perancangan KTIP adalah Projek Kertih yang bakal menjadi kompleks kilang penapisan bio generasi kedua terbesar di Asia yang dijangka membawa nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM680 juta.

“Rakyat Terengganu juga bakal menikmati curahan ekonomi menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan oleh KTIP di dalam pelbagai bidang dan kemahiran yang diusahakan,” katanya.

Tambah beliau, para pelabur juga dapat menjalankan perniagaan sambil menikmati pelbagai insentif cukai yang disediakan di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) selain menyediakan pintu masuk ke Pasaran Asia-Pasifik, Eropah, Amerika, dan Timur Tengah.

Beliau yang juga Pengerusi Terengganu Inc menjelaskan, MGB Berhad memberikan memberi komitmen penuh kepada kerajaan negeri dan rakan kongsi bagi memastikan projek tersebut siap tepat pada masanya, dengan pembinaan infrastruktur bagi fasa 1 Projek Kertih (sebahagian daripada KTIP) yang bakal siap menjelang 2024 dalam usaha merancakkan lagi agenda pembangunan bersepadu ini demi rakyat dan negeri.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Pengarah Urusan Kumpulan MGB, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Richard Lim Lit Chek serta Pengarah Retro Court Sdn Bhd, Dato’ Hendri Dahlan.

Back