Business-Blog

PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir Tawar Sepuluh Kategori Untuk Peminat Basikal

Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc, menerusi anjuran program berbasikal lasak, PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir 2023, bakal menawarkan sepuluh kategori kepada peminat basikal pada 6 dan 7 Oktober ini di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, YB Hishamuddin Abdul Karim berkata program sukan anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Terengganu Inc (TISAW) itu bakal menarik lebih daripada 1,000 penyertaan dari seluruh negara.

“Di samping menawarkan 10 kategori terbuka kepada peminat basikal berumur seawal 12 tahun ke atas sehingga ‘otai-otai’ berusia 56 tahun, hadiah yang ditawarkan juga menarik untuk dimenangi bagi setiap kategori,” katanya pada sidang media hari ini di sini.

Acara sukan ini turut menawarkan nilai ganjaran keseluruhan mencecah RM100,000, diantara yang tertinggi dalam sejarah pertandingan sukan berbasikal lasak dalam negara, dengan RM50,000 disediakan dalam cabutan bertuah manakala selebihnya adalah hadiah wang tunai bagi kategori-kategori pertandingan.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Encik Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, program berbasikal ini merupakan acara yang julung kalinya diadakan di Pulau Poh memandangkan kawasan hutan dara tersebut baru dibuka secara rasminya pada bulan lalu.

Katanya, dengan wujudnya fasiliti dan kemudahan penginapan, restoran dan jeti, anjuran ini bukan sahaja dapat melonjakkan lagi sektor pelancongan tempatan malah berpotensi menarik minat peminat basikal ke trek berbasikal hutan yang bakal dijadikan kawasan trek tetap.

“Program yang diadakan ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat untuk menjana pendapatan tambahan di samping menggalakkan sektor eko-pelancongan di Pulau Poh menerusi pelbagai aktiviti sukan lasak seperti basikal bukit, trek hutan, jet ski dan sebagainya, hasil kedudukan dan bentuk muka bumi strategik” katanya.

Terengganu Inc sentiasa mengalu-alukan penajaan daripada anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc serta syarikat-syarikat besar lain untuk mengadakan anjuran kesukanan seperti ini untuk kelestarian sukan berbasikal. Jelasnya lagi, syarikatnya turut berterima kasih kepada PTT Synergy Group Berhad, sebuah syarikat pemaju dan infrastruktur yang tersenarai di papan utama Bursa Saham, di atas kesudian menaja program ini.

”Kita juga berbangga PTT Synergy Group Berhad telah melahirkan rakyat Terengganu yang berjaya dan kejayaan yang dikecapi ini telah disalurkan melalui programprogram CSR di dalam negeri Terengganu juga,” katanya lagi.

Untuk pengetahuan, PTT Synergy Group Berhad merupakan sebuah syarikat pemaju yang menjalankan kerja-kerja infrastruktur, penambakan di samping mempunyai banyak jentera berat yang amat kukuh di Malaysia. Antara projek yang kini dilaksanakan oleh PTT seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di seksyen Kuantan dan Terengganu.

Back