Business-Blog

Kumpulan Terengganu Inc, Yayasan Terengganu Meterai MoA, Bentuk Biasiswa Bernilai RM500,000 Buat Pelajar B40

PUTRAJAYA — Pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) di antara Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan jabatan negeri, Yayasan Terengganu bakal membolehkan pelajar cemerlang daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi.

Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pihaknya bersama anak-anak syarikat Kumpulan telah memperuntukkan sebanyak RM500,000 di bawah nama Program Biasiswa YT-TI ’Young Talent SchOlâTShip Programme’.

Biasiswa peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (Ijazah pertama) ini dibentuk bagi memastikan anak Terengganu yang berkelayakan dapat melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, dengan keutamaan bagi mereka di kalangan keluarga B40.

Biasiswa khas tersebut juga mampu mengurangkan beban kewangan bagi para pelajar yang mengambil jurusan releven seperti bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang- undang, Muamalat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pengurusan Korporat dan Perladangan.

“Langkah ini direalisasikan dengan komitmen anak-anak syarikat Kumpulan antaranya TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, GPQ Sdn Bhd, TI Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited serta Permodalan Terengganu Berhad,” katanyaketika berucap dalam majlis MoA tersebut di Le Meridien, Putrajaya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, pelaksanaan biasiswa ini dijangka akan bermula dengan permohonan atas talian pada 26 September 2022 buat lepasan STPM, STAM, Matrikulasi dan Asasi, mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

“Kerajaan Negeri menyedari cabaran dihadapi ibu bapa bagi melanjutkan pelajaran anak-anak mereka iaitu kos pendidikan pengajian yang tinggi. Oleh itu, biasiswa ini dibentuk dan merangkumi pelbagai kos pendidikan seperti yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun peralatan dan buku serta pemberian peranti IPad.

Bagi manfaat jangka panjang, tajaan tersebut berperanan untuk pembangunan modal insan dengan bakal melahirkan golongan professional dan mengisi jurang pekerjaan di Terengganu , pada masa akan datang.

MoA itu ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun, Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin, Pengarah Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr. Mohd Zaki Hamzah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Azmi Mat Ali, Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalilzan Mahmud dan Pengarah Permodalan Terengganu Berhad, Muhammad Ramizu Mustafa.

Manakala itu, Yayasan Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham sambil disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.


Back