Business-Blog

Kumpulan Terengganu Inc Taja TSG RM2 Juta Pada Tahun 2024

KUALA TERENGGANU – Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) telah memeterai perjanjian bersama Terengganu Cycling Team (TSG) bagi merealisasikan tajaan bernilai RM2 juta untuk meningkatkan lagi momentum menghadapi saingan musim 2024.

Tajaan bersama ini melibatkan anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc seperti EPIC Berhad, Manis Fm, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel Kuala Terengganu dan juga termasuk Terengganu Inc sendiri. Tajaan ini disalurkan dalam bentuk kewangan dan ‘inkind’ kepada TSG untuk musim ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sejak lapan tahun lepas sehingga kini, Terengganu Inc serta anak-anak syarikat Kumpulannya optimis TSG akan memberi impak besar kepada penjenamaan Kumpulan di peringkat antarabangsa.

“Tahun ini, kami mengumumkan sokongan tajaan dari syarikat minyak dan gas, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), yang akan membawa jenama syarikat ini ke peringkat yang lebih tinggi. TSG juga yakin dalam mengekalkan gelaran juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta menyasarkan rangking tertinggi peringkat dunia UCI” katanya.

Pada tahun sebelumnya, Kumpulan Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta pada tahun 2023, dan RM1.5 juta pada tahun 2022 bagi membantu memperkasakan jenama secara komprehensif serta mengutuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi optimis akan fokus TSG dalam memburu kejuaraan menerusi perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober, tahun ini.

“Saya yakin juga penajaan musim hadapan ini menjadi mendorong kearah pasukan ini untuk mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan akan datang seperti Tour de Taiwan di mana mereka akan bersaing dengan pasukan teratas yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis perjanjian yang diadakan di Permai Hotel Kuala Terengganu telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar bin Suhaili, Pengurus Besar, Husa Network Sdn Bhd (Manis Fm), Ozarizan Mohd Nor, Pengurus Besar Permai Hotel Kuala Terengganu, Noralizan Abd Rahman dan Pengurus Besar Primula Beach Hotel Kuala Terengganu, Suaibah Harun.

Manakala itu, TSG ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, YB Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.


Back