Business-Blog

Kumpulan Terengganu Inc Sasar 400,000 Pokok Ditanam Tahun 2023

Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc menyasarkan penanaman sehingga 400,000 pokok bagi tahun ini, selari dengan Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Kemampanan.

Sejak 2021, Terengganu Inc berjaya menanam sebanyak 173,220 pokok, atau 25% dari jumlah pokok yang ditanam di seluruh negeri hasil kerjasama anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc.

Pada hari ini, melalui Pelancaran ‘One Tree One Staff’, Presiden & Pengarah Eksekutif, Encik Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun berkata, setiap kakitangan Kumpulan Terengganu Inc digalakkan untuk menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok serta merekodkan setiap pokok yang ditanam ke dalam aplikasi ‘Penghijauan Malaysia’.

Digerakkan oleh Kementerian Tenaga & Sumber Asli (KeTSA), ia sebagai tanda sumbangan dan sokongan terhadap kempen yang sedang dilaksanakan di peringkat nasional.

Selain itu, beliau turut menggalakkan warga kerja Kumpulan Terengganu Inc menyertai Pertandingan Penanaman Pokok Terbanyak dan merebut peluang untuk menjadi 10 pemenang dengan rekod penanaman pokok tertinggi yang bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4,000.00.

Program anjuran pihaknya bersama Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd (KPKKT), anak syarikat milik penuh Golden Pharos Berhad ini sebagai menterjemah salah satu komitmen Terengganu Inc dalam mengintegrasikan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) 2030 selari dengan agenda kelestarian Terengganu Inc melalui pendekatan ’Environmental Sustainability’.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama Rakan Strategik Teknikal (Perhutanan) iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) selaku pelaksana bagi agenda Penghijauan Malaysia.

Turut hadir dalam Program ‘One Tree One Staff’ Peringkat Kumpulan Terengganu Inc, Ketua-Ketua Syarikat Kumpulan Terengganu Inc dan Ketua-ketua Jabatan. 

Back