Business-Blog

International Golden Monsoon Ride 2022 Tarik 1,395 Peserta Dalam Dan Luar Negara

SETIU – Kejohanan berbasikal “International Golden Monsoon Ride 2022” anjuran Kumpulan syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Kumpulan Terengganu Inc telah melabuhkan tirainya hari ini di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Setiu, Terengganu dengan penyertaan seramai 1,395 peserta dari dalam dan luar negara. Program yang merupakan sebahagian daripada Terengganu Inc Challenge Series ini dirintis Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan melibatkan dukungan penuh daripada lima anak syarikat iaitu Golden Pharos Berhad (GPB), TDM Berhad (TDM), Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dan Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd (LRT) sebagai peneraju utama program pada tahun ini.

Enam (6) kategori kayuhan dengan dua (2) laluan, “On Road” dan “Off Road”, telah dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu empat (4) kategori “International & Novice”, satu

(1) kategori “Fun Ride Off Road” dan satu (1) kategori “Fun Ride on Road”. Kategori “Fun Ride on Road” melibatkan kayuhan sejauh 43 kilometer (km) manakala bagi kategori “Off Road” pula, empat (4) kategori utama dipertandingan akan meredah cabaran laluan lurus sepanjang 20 km dan 17 km kawasan berbukit di Ladang Lembah Bidong.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata penganjuran kali ini telah dinaik taraf kepada peringkat antarabangsa bagi dan turut menampilkan kelainan dengan acara utama ‘Mountain Bike’ (MTB) sejauh 37 km berbukit yang lebih mencabar.

“Dengan dukungan penuh Kumpulan Terengganu Inc, kejohanan berbasikal yang berjaya menarik minat komuniti dari kelab dalam negara dan turut disertai peserta luar negara ini akan dijadikan sebagai acara tahunan kerana ianya dapat memberi impak yang positif terhadap pertumbuhan sektor ekonomi dan juga pelancongan tempatan di negeri Terengganu,” tambahnya lagi.

Kejohanan antarabangsa yang dianjurkan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong ini turut menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM22,050 dan cabutan bertuah bernilai RM112,000. Pemenang tempat pertama hingga ke-10 bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai selain cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 dan dua motosikal Yamaha Y16 dan Yamaha NVX.


Back