Business-Blog

Graduan UniSZA Muhammad Aliff Shafiee' Dinobatkan Penerima Pertama Anugerah Khas Perdana Terengganu Inc

KUALA NERUS – Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Inc telah memperuntukkan sebanyak RM10,000 dalam Anugerah Khas Perdana Terengganu Inc, sebuah bentuk pengiktirafan bagi graduan lepasan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) yang telah mencapai kecemerlangan akademik dan sumbangan yang luar biasa dalam bidang kokurikulum, kepimpinan, dan inovasi.

Seorang graduan daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UniSZA, Muhammad Aliff Shafiee’ bin Rosli, telah berjaya memenangi anugerah tersebut buat tahun pertama pelaksanaan pengiktirafan tersebut semasa Sidang Kedua Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin Ke-15 pada 5 November 2023.

Penerima pertama anugerah itu yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 setahun, sijil penghargaan dan medal.

Anugerah Khas Perdana Terengganu Inc telah dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga 2027 dan ia juga merupakan program tanggungjawab sosial sebahagian daripada kerjasama strategik dalam ‘Terengganu Inc-UniSZA Islamic Investment Project’.

Muhammad Aliff Shafiee yang kini juga sedang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah sarjana, telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 ke atas, dengan keutamaan diberikan kepada anak kelahiran Terengganu.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, YBhg Encik Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun berkata, penilaian telah dibuat berdasarkan pengiraan 70% komponen akademik dan 30% komponen kokurikulum, kepimpinan dan pengiktirafan, dengan pencalonan terbuka kepada semua fakulti.

“Kemenangan ini sepatutnya menjadi inspirasi kepada para mahasiswa lain di UniSZA untuk terus berusaha lebih gigih bukan sahaja dalam pencapaian pendidikan malah juga penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Back