Majlis MOU Terengganu Inc dan PETRONAS

06 Dec 2018

Kuala Lumpur, 6 November 2018 - Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memeterai memorandum persefahaman dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi pembangunan infrastuktur berasaskan gas dengan pemasangan saluran gas asli sepanjang 32km menghubungkan loji pemprosesan gas asli (GPP) di Santong ke ‘Terengganu Silica Valley’.

Projek pembangunan ‘Terengganu Silica Valley’ merupakan lembah silika yang pertama di dunia berasaskan Eco-Industrial Park yang bertempat di Jambu Bongkok, Marang, Terengganu melibatkan pembangunan bersepadu dua(2) fasa seluas 4000 hektar yang akan merangsang Spin - Off Industries dan pelbagai aktiviti ekonomi di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia.

Menteri Besar Terengganu, YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ‘Pembangunan infrastuktur berkaitan gas ini melibatkan fasa pertama di kawasan pelabur induk atau anchor investor area yang merangkumi keluasan 470 hektar. Manakala pembangunan fasa kedua akan melibatkan keluasan sebanyak 3520 hektar.

‘Anggaran nilai pelaburan bagi projek ini adalah berjumlah RM13 billion melalui pelaburan domestik and luar negara dan dijangka mampu menyediakan sebanyak 7,200 peluang pekerjaan baru dalam usaha-usaha kerajaan negeri memperbaiki taraf kehidupan rakyat Terengganu di masa hadapan.

Beliau berkata ‘Kedua-dua pihak akan secara efisyen melaksanakan pembangunan secara komersil dan penilaian teknikal yang berkaitan termasuk penyediaan gas asli (Natural Gas), penjanaan tenaga (power generation), pembekalan gas perindustrian (supply of industrial gases) dan lain-lain yang melibatkan pembekalan gas bagi pembangunan di kawasan terbabit.

‘Ini merupakan kerjasama kali pertama PETRONAS dan Terengganu Inc, saya berharap melalui perjanjian ini kedua-dua pihak komited untuk terus memacu pembangunan negeri Terengganu bagi membangunkan lembah silica selain industri minyak dan gas di masa akan datang.

‘Semoga kerjasama ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu’, menurut YAB Dr. Samsuri di majlis tersebut.

YAB Menteri Besar Terengganu menyaksikan Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman di antara Terengganu Inc dan PETRONAS untuk penyediaan pembekalan tenaga dan infrastuktur berkaitan tenaga di Terengganu Silica Valley. Turut menyaksikan adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. Memorandum persefahaman ditandatangani oleh YB Dato’ Hj A. Rahman bin Yahya selaku Pengarah Terengganu Inc dan Muhammad Zamri Jusoh, Naib Presiden Malaysia Petroleum Management, PETRONAS.