Terengganu Inc Sumbang RM1 Juta

02 Apr 2020

Kuala Terengganu, 2 April 2020 - Terengganu Incorporated menyumbang sejumlah RM1 juta kepada Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu hari ni.

Sumbangan itu diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, YAB Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar oleh Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc dalam satu majlis ringkas di Kediaman Seri Iman.

Turut hadir bagi menyerahkan sumbangan adalah wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Konsortium KAJV Sdn Bhd yang menjadikan jumlah terkumpul Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu berjumlah *RM3.8 juta*.

Terengganu Inc menyokong inisiatif kerajaan negeri mewujudkan *Tabung Bantuan COVID-19 Terengganu* dan berharap sumbangan itu akan dapat membantu golongan yang memerlukan dalam tempoh yang mencabar ini.

Terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada 18 Mac telah dilanjutkan kepada 14 April 2020 dalam usaha membendung virus pandemik itu.

Setakat ini, Terengganu Inc turut menyumbang bekalan makanan harian kepada 140 keluarga yang terjejas di seluruh Terengganu melalui Majlis Belia Negeri Terengganu berjumlah RM12,000.

Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, memuji usaha gigih kerajaan dalam menangani keadaan semasa dengan pelbagai insentif yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Terengganu demi kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, saya juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada doktor, jururawat, pekerja kesihatan, polis, tentera dan pihak berkuasa yang merupakan barisan hadapan mendepani wabak ini, semoga penularan wabak dapat dibendung sebaiknya dan negara kembali pulih”, kata beliau.